Dah lenguh kaki berjalan..,,kaki yang sememangnya dah bengkak bertambah bengkak.. dah macam kena penyakit filaria pulak aku tengok.. sampai je kat kedai jam di Giant Batu Caves tu, langkah terus terhenti.
“Beli kat sini je la bang ek… dah tak larat nak berjalan..”. Aku memaklumkan kepada suamiku. Iklil Nabeehah yang ketika itu baru berusia hampir 8 bulan di dalam perut itu terus menendang…. Tendangan yang sesekali agak kuat itu melenguhkan pinggangku…
Aku terus memerhati sekeliling kedai, cuba mencari jam tangan berjenama Seiko yang sesuai untuk Abah….
Ingatan terus kembali ke 3 Bulan lepas sewaktu kepulangan aku dan suami ke kampong..
“Abah kan.. dalam banyak2 jam, abah paling teringin nak pakai jam tangan jenama Seiko.. tapi jam tu mahal sangat…”
Kesian abah… kesempitan hidup yang dialami kami semua semasa zaman kecilku barangkali telah menenggelamkan impian abah untuk memiliki jam tangan tersebut. Asyik bertukar jam tangan murah yang dibeli di pasar malam sahaja…
Tekadku, akan kubeli jam tangan seumpama itu untuk abah suatu hari nanti…
Dan ingatan itu berakhir tatkala suamiku memanggilku..
“Dah jumpa kat sini….”
Aku terus berjalan dan mengambil jam itu dari tangannya…
“Cantik…”
“Yang ni sesuai sikit kalo abah pakai… nombor nye besar, senang abah nak tengok…”
Selepas membayar harganya, aku terus keluar dari kedai tersebut dengan gembira… Minggu depan abah nak datang KL, jam ni akan jadi hadiah birthday aku untuk abah… boleh lah abah pakai jam tangan nih..
Seminggu berlalu dan aku terus sibuk dengan urusanku di Pejabat..
Baru pagi tadi aku menerima panggilan telefon dari emak yang memberitahu mengenai kesihatannya yang tidak menentu dan kemungkinan besar mak dan abah tak jadi datang ke KL..
Alamak! Rosak plan aku nak celebrate birthday abah kat sini dan bagi hadiah jam tangan impiannya… Tak pe lah.. balik kg nanti pon boleh bagi..
Pagi Ahad itu Kaklong call dari ofis memberitahu tentang kedatangan abah dan mak ke rumahnya… Aku yang terkejut dengan berita itu sekadar berbahasa sahaja dengan Kaklong…
Sampai hati abah, cakap nak datang rumah Kaknyah.. tup tup pegi rumah Kaklong pulak.. Abah tak pernah pun datang sini… hati kecilku merungut..
Terus sahaja aku telefon abah dan menyatakan rasa tak puas hatiku kerana abah tidak pernah datang ke rumahku…. Dan apabila plan sebelumnya untuk datang, tapi last minute abah cancel.. sape yang tak sedih…
“Abah ni, rumah Kaklong boleh pi, rumah Kaknyah ni abah tak mau mai… jangan la berjanji tapi tak datang.. kaknyah dan Khairin dan plan macam-macam untuk abah.. nak celebrate birthday…bawak jalan-jalan kat KL dan siap dah beli hadiah jam tangan Seiko pun…”.. aku terus berleter kepada abah di hujung telefon..
Abah hanya tergelak kecil..
“hang tak habaq kat abah hang beli jam tangan Seiko, kalo tak mesti abah pi sana..”
“Sampai hati abah….. kalo tau macam nih…tak beli jam tu pon takpa…”
Aku terus off h/p dan menangis… memang aku merajuk dgn tindakan abah.. hari birthdaynya yang sepatutnya aku raikan bertukar menjadi hari yg sedih utk aku… memang aku sgt terkilan dengan tindakan abah dan aku terus melayan rajukku dengan tidak menelefon selama seminggu…. Jenuh suamiku memujuk tapi entahlah… agaknya pembawaan diriku yang sedang sarat ini menambahkan lagi emosi sensitif..
Minggu berikutnya aku dan suami pulang ke kampung. Walaupun rajukku terhadap abah masih bersisa di dalam hati tapi aku tetap ceria bersalam dengan abah dan mengucup pipinya sambil sekali lagi kuucapkan selamat hari lahir yang ke 59 tahun.. kekeluarkan kotak putih dari beg dan serahkan kepada abah..
“hadiah birthday untuk abah…” kataku sambil tersenyum..
Kuperhatikan tangan tua abah membuka kotak hadiah berisi jam impiannya itu… reaksi abah biasa sahaja, agaknya kerana sedari awal lagi dia sudah tahu isi di dalamnya…
“terima kasihh….. hang dah dua kali beli hadiah jam kat abah… dulu masa kat UiTM hang beli jam Rado, tapi brand Padang Besar, sekarang ni hang beli jam Seiko pulak… macam tau-tau ja hang abah suka jam ni…”
Entah kenapa, di hujung kata-kata abah tu aku dapat rasakan ada nada sedih yang terselindung dalam gurauan abah…
“Kaknyah mintak maaf abah pasal hari tu kaknyah merajuk kat abah… kaknyah cakap – rugi ja beli jam tu kat abah, abah tak datang KL pun…” aku terus tarik tangan abah dan duduk di sofa bahagian tengah rumah…
“hang memang suka macam tu… yang tu pun nak merajuk.. abah saja tak pi rumah hang… hang la sepatutnya balik tengok abah.. bukan abah yg pi sana… lagipun Birthday abah hari Selasa.. mak pon tak berapa sihat, takkan abah nak pi jauh2.. takat alor star tu takpa la…. Benda kecik2 jgn la dok merajuk… ha… ni abah dah dapat jam ni..” perlahan abah menasihati….
Aku hanya tersenyum dan terus mengajar abah cara-cara untuk mengendalikan jam Seiko tersebut…
“Abah tarik separuh butang ni, pusing ke atas untuk set waktu, pusing ke bawah untuk set hari, tarik habis untuk pusing jarum jam….” Beberapa kali aku cuba mengajar abah tapi sukar betul untuk abah faham…
“Abah ni…aduiii.. susah-susah sgt, abah pakai je la jam ni terus…. Jgn tanggalkan lebih dari 8 jam sebab lepas 8 jam tak digunakan, jam ni akan mati secara automatik… jam ni takdak bateri…. Bila dia mati abah kena goncang-goncangkan dan dia akan hidup semula, tapi nanti abah kena set balik… lebih baik abah jangan tanggalkan…” aku meleteri abah. Penat rasanya mengajar abah yg ternyata sukar sekali untuk faham..
“OK.. abah pakai terus jam ni… kalau la jam ni mati, abah tunggu hang balik kampung… hang set balik sampai ok…” abah terus meletakkan jam tersebut di tangannya..
“Ala, abah pakai je la.. lagipun takkan la abah nak tanggalkan lebih 8 jam kan.. abah kan suka pakai jam….” Aku tersenyum…
“Mana hang tau?.. Kalu abah mati, jam ni pun mati sekali la…..”
Kalau abah mati, jam ni pun mati sekali laa….
Abah….
Agaknya kalau ketika itu aku tahu bahawa kata-kata itu adalah kata-kata yang membawa kepada realiti pemergianmu, sudah pasti saat itu juga beribu kali kukucup tanganmu memohon keampunan… pedihnya hati mengingat kembali saat-saat aku merajuk hanya kerana abah membatalkan rancangannya untuk datang ke KL bercuti di rumahku…. Pilu sekali rasa hati apabila mengenangkan itulah hadiah terakhir aku buat abah dan juga tahun terakhir aku mengucapkannya kepada abah… kurang enam bulan usia jam tangan itu di pergelangan tangan abah…. Dan abah telah pergi selama-lamanya….
Ralat, kesal, kecewa, pilu………
Selesai pengebumian abah, lewat asar itu aku masuk ke bilik emak dan abah.. Kulihat baju-baju abah yang masih belum dibasuh bergantungan di tabir tigkap… kulihat mak di hujung katil menangis teresak-esak sambil mencium baju abah… biarlah mak melayan sedihnya….
Aku beralih ke arah meja di tepi katil.. kuperhatikan jam tangan abah yang terletak kemas di sebelah kopiah putih…
Terketar-ketar jari-jemariku mengambil jam tersebut…
Jam abah mati!...
Kalau abah mati, jam ni pun mati sekali laa….
Terngiang-ngiang suara abah di hujung telingaku…
Abah……..
Al-Fatihah....