Wednesday, January 26, 2011

26 Januari, Abah dan Jam Tangan Seiko...


Dah lenguh kaki berjalan..,,kaki yang sememangnya dah bengkak bertambah bengkak.. dah macam kena penyakit filaria pulak aku tengok.. sampai je kat kedai jam di Giant Batu Caves tu, langkah terus terhenti.

“Beli kat sini je la bang ek… dah tak larat nak berjalan..”. Aku memaklumkan kepada suamiku. Iklil Nabeehah yang ketika itu baru berusia hampir 8 bulan di dalam perut itu terus menendang…. Tendangan yang sesekali agak kuat itu melenguhkan pinggangku…

Aku terus memerhati sekeliling kedai, cuba mencari jam tangan berjenama Seiko yang sesuai untuk Abah….

Ingatan terus kembali ke 3 Bulan lepas sewaktu kepulangan aku dan suami ke kampong..

“Abah kan.. dalam banyak2 jam, abah paling teringin nak pakai jam tangan jenama Seiko.. tapi jam tu mahal sangat…”

Kesian abah… kesempitan hidup yang dialami kami semua semasa zaman kecilku barangkali telah menenggelamkan impian abah untuk memiliki jam tangan tersebut. Asyik bertukar jam tangan murah yang dibeli di pasar malam sahaja…

Tekadku, akan kubeli jam tangan seumpama itu untuk abah suatu hari nanti…
Dan ingatan itu berakhir tatkala suamiku memanggilku..

“Dah jumpa kat sini….”

Aku terus berjalan dan mengambil jam itu dari tangannya…

“Cantik…”

“Yang ni sesuai sikit kalo abah pakai… nombor nye besar, senang abah nak tengok…”

Selepas membayar harganya, aku terus keluar dari kedai tersebut dengan gembira… Minggu depan abah nak datang KL, jam ni akan jadi hadiah birthday aku untuk abah… boleh lah abah pakai jam tangan nih..

Seminggu berlalu dan aku terus sibuk dengan urusanku di Pejabat..
Baru pagi tadi aku menerima panggilan telefon dari emak yang memberitahu mengenai kesihatannya yang tidak menentu dan kemungkinan besar mak dan abah tak jadi datang ke KL..

Alamak! Rosak plan aku nak celebrate birthday abah kat sini dan bagi hadiah jam tangan impiannya… Tak pe lah.. balik kg nanti pon boleh bagi..

Pagi Ahad itu Kaklong call dari ofis memberitahu tentang kedatangan abah dan mak ke rumahnya… Aku yang terkejut dengan berita itu sekadar berbahasa sahaja dengan Kaklong…

Sampai hati abah, cakap nak datang rumah Kaknyah.. tup tup pegi rumah Kaklong pulak.. Abah tak pernah pun datang sini… hati kecilku merungut..

Terus sahaja aku telefon abah dan menyatakan rasa tak puas hatiku kerana abah tidak pernah datang ke rumahku…. Dan apabila plan sebelumnya untuk datang, tapi last minute abah cancel.. sape yang tak sedih…

“Abah ni, rumah Kaklong boleh pi, rumah Kaknyah ni abah tak mau mai… jangan la berjanji tapi tak datang.. kaknyah dan Khairin dan plan macam-macam untuk abah.. nak celebrate birthday…bawak jalan-jalan kat KL dan siap dah beli hadiah jam tangan Seiko pun…”.. aku terus berleter kepada abah di hujung telefon..

Abah hanya tergelak kecil..

“hang tak habaq kat abah hang beli jam tangan Seiko, kalo tak mesti abah pi sana..”

“Sampai hati abah….. kalo tau macam nih…tak beli jam tu pon takpa…”

Aku terus off h/p dan menangis… memang aku merajuk dgn tindakan  abah.. hari birthdaynya yang sepatutnya aku raikan bertukar menjadi hari yg sedih utk aku… memang aku sgt terkilan dengan tindakan abah dan aku terus melayan rajukku dengan tidak menelefon selama seminggu…. Jenuh suamiku memujuk tapi entahlah… agaknya pembawaan diriku yang sedang sarat ini menambahkan lagi emosi sensitif..

Minggu berikutnya aku dan suami pulang ke kampung. Walaupun rajukku terhadap abah masih bersisa di dalam hati tapi aku tetap ceria bersalam dengan abah dan mengucup pipinya sambil sekali lagi kuucapkan selamat hari lahir yang ke 59 tahun.. kekeluarkan kotak putih dari beg dan serahkan kepada abah..

“hadiah birthday untuk abah…” kataku sambil tersenyum..

Kuperhatikan tangan tua abah membuka kotak hadiah berisi jam impiannya itu… reaksi abah biasa sahaja, agaknya kerana sedari awal lagi dia sudah tahu isi di dalamnya…

“terima kasihh….. hang dah dua kali beli hadiah jam kat abah… dulu masa kat UiTM hang beli jam Rado, tapi brand Padang Besar, sekarang ni hang beli jam Seiko pulak… macam tau-tau ja hang abah suka jam ni…”

Entah kenapa, di hujung kata-kata abah tu aku dapat rasakan ada nada sedih yang terselindung dalam gurauan abah…

“Kaknyah mintak maaf abah pasal hari tu kaknyah merajuk kat abah… kaknyah cakap – rugi ja beli jam tu kat abah, abah tak datang KL pun…” aku terus tarik tangan abah dan duduk di sofa bahagian tengah rumah…

“hang memang suka macam tu… yang tu pun nak merajuk.. abah saja tak pi rumah hang… hang la sepatutnya balik tengok abah.. bukan abah yg pi sana… lagipun Birthday abah hari Selasa.. mak pon tak berapa sihat, takkan abah nak pi jauh2.. takat alor star tu takpa la…. Benda kecik2 jgn la dok merajuk… ha… ni abah dah dapat jam ni..” perlahan abah menasihati….

Aku hanya tersenyum dan terus mengajar abah cara-cara untuk mengendalikan jam Seiko tersebut…

“Abah tarik separuh butang ni, pusing ke atas untuk set waktu, pusing ke bawah untuk set hari, tarik habis untuk pusing jarum jam….” Beberapa kali aku cuba mengajar abah tapi sukar betul untuk abah faham…

“Abah ni…aduiii.. susah-susah sgt, abah pakai je la jam ni terus…. Jgn tanggalkan lebih dari 8 jam sebab lepas 8 jam tak digunakan, jam ni akan mati secara automatik… jam ni takdak bateri….  Bila dia mati abah kena goncang-goncangkan dan dia akan hidup semula, tapi nanti abah kena set balik… lebih baik abah jangan tanggalkan…” aku meleteri abah. Penat rasanya mengajar abah yg ternyata sukar sekali untuk faham..

“OK.. abah pakai terus jam ni… kalau la jam ni mati, abah tunggu hang balik kampung… hang set balik sampai ok…” abah terus meletakkan jam tersebut di tangannya..

“Ala, abah pakai je la.. lagipun takkan la abah nak tanggalkan lebih 8 jam kan.. abah kan suka pakai jam….” Aku tersenyum…

“Mana hang tau?.. Kalu abah mati, jam ni pun mati sekali la…..”

Kalau abah mati, jam ni pun mati sekali laa….

Abah….

Agaknya kalau ketika itu aku tahu bahawa kata-kata itu adalah kata-kata yang membawa kepada realiti pemergianmu, sudah pasti saat itu juga beribu kali kukucup tanganmu memohon keampunan… pedihnya hati mengingat kembali saat-saat aku merajuk hanya kerana abah membatalkan rancangannya untuk datang ke KL bercuti di rumahku…. Pilu sekali rasa hati apabila mengenangkan itulah hadiah terakhir aku buat abah dan juga tahun terakhir aku mengucapkannya kepada abah… kurang enam bulan usia jam tangan itu di pergelangan tangan abah…. Dan abah telah pergi selama-lamanya….

Ralat, kesal, kecewa, pilu………

Selesai pengebumian abah, lewat asar itu aku masuk ke bilik emak dan abah.. Kulihat baju-baju abah yang masih belum dibasuh bergantungan di tabir tigkap… kulihat mak di hujung katil menangis teresak-esak sambil mencium baju abah… biarlah mak melayan sedihnya….

Aku beralih ke arah meja di tepi katil.. kuperhatikan jam tangan abah yang terletak kemas di sebelah kopiah putih…

Terketar-ketar jari-jemariku mengambil jam tersebut…

Jam abah mati!...

Kalau abah mati, jam ni pun mati sekali laa….

Terngiang-ngiang suara abah di hujung telingaku…

Abah……..

 Al-Fatihah....

Monday, November 26, 2007

Cinta Kita

Kadang-kadang kita sering lupa saat duka tatkala bergembira. Aku pernah merasakan kekesalan berpanjangan yang telah membangkitkan perasaan sedih yang bukan sedikit suatu ketika dahulu. Namun, aku akur pada takdir yang menjanjikan seseorang itu tak dapat lari dari melakukan kesilapan. Sekurang-kurangnya ianya telah menyedarkan aku. Sekali terhantuk, aku rasa sakitnya sampai bila-bila dan aku bersyukur masih punya peluang untuk berbakti kepada diri sendiri, keluarga dan ,masa depanku.
B… kukira tempoh cinta kita tidaklah terlalu panjang untuk aku menyimpan rasa cinta yang tiada sempadannya untuk dirimu. Sungguh aku bersyukur kepadaNya yang maha esa kerana menemukan aku denganmu sayang. Kau amat kudambakan, amat kusayang, amat kucintai dan kuangankan selama ini. Pantasnya hari-hari berlalu, mengusir semua kenangan pahit yang dahulunya tak pernah sudi untuk pergi. Kau memberi satu harapan dan sinar baru dalam hidupku…
B…. kesetiaanmu adalah satu titik tolak kepada sebuah harapan yang pernah berkubur suatu ketika dahulu. Entah apa dan di mana keistimewaan yang ada pada diriku yang telah menambat hati kerasmu. Cintamu amat mahal untuk dimenangi oleh mana-mana gadis yang kukenal dan yang tidak pernah kutahu sebelum ini. Kisah permainan cinta yang sering kau lakonkan suatu ketika dahulu barangkali sudah sampai ke penghujungnya semenjak kita bertemu. Mungkin ini kesudahannya, atau mungkin juga sebuah balasan untuk dirimu yang pernah melukakan hati-hati mulus para gadis sebelumku. Takdirnya kita telah bercinta dan aku amat mendoakan agar dipertemukan jodoh denganmu. Aku tahu, kau juga begitu… malah  lebih tak sabar barangkali menanti saat dinikahkan kerana kehidupanmu di negeri pantai timur itu lebih menjanjikan kesunyian dari kegembiraan….
Sayang…
Semalam benar-benar telah menguji hati seorang lelaki milikmu. Tak sangka! Begitu sensitif dan hebat sekali prinsip hidupmu. Aku amat berbangga mendengar pengakuan dari bibirmu sayang. Kusedari kesalahanku dan aku amat menyesal kerana tidak peka dengan perasaanmu. Syukur kepadaMu Tuhan kerana telah diberi petunjuk bahawa engkaulah satu-satunya yang kunanti selama ini. Sangat kelakar bila diingatkan tapi itulah hakikatnya. Kau tewas juga kepada seorang perempuan akhirnya! Pasti kata-kata itu akan dilaungkan oleh teman-teman seangkatanmu andainya mereka tahu kisah di sebalik apa yang telah berlaku. Maafkan aku sayang, tapi kukira apa yang telah berlaku berbaloi sama sekali kerana telah berjaya membeli air mata mahal milikmu itu.
Sayang…
Andainya kau membaca nukilan ini, pejamkan matamu seketika waktu. Rasakan debaran kuat  di dada bidangmu itu. Apakah getarnya telah sampai ke sekujur tubuhmu? Aku telah merasakannya, malah getarannya tak sama seperti apa yang kurasakan sebelum ini. Kesekian kalinya aku menulis, hanya sebuah pengertian aku harapkan dari dirimu. Percayalah aku wahai kekasih, cintaku tiada duanya, hanya kau yang kuharap akan menyarung cincin pernikahan di hari bersejarah kita. Pastinya di hari tersebut kau akan menyedari betapa hakikat sebuah percintaan datang bersama dugaan yang bukan sedikit. Aku bersedia sayang, pimpinlah tanganku ke masa depan kita. Kurelakan hati ini menjadi milikmu kerana semenjak pertama kali bertemu, hatiku telah berbisik dan berjanji bahawa kaulah satu-satunya untuk diriku. Hayatilah sebuah lagu nyanyian penyanyi kesayanganku, Aisyah – Kasih Kita ini khas untuk dirimu yang tersayang. Aku Cinta Padamu B….maafkan segala kesalahanku…
Kasih Kita
Telah lama ku lalui
Perjalanan penuh ranjau
Dan berduri
Kini tiba cahaya cinta suci
Menerangi
Diriku yang sepi
Meskipun ada yang mengeji
Memang lumrah insan di dunia ini
Hasad dengki
Usah didengarkan
Bersabarlah
Menempuhi
Pertama kali
Aku bahagia
Kau menerima diri ini
Insan biasa
Punya kelemahan
Dalam menempuhi
Cabaran
Aku juga tak mengharapkan
Intan permata
Kemewahan
Cinta yang murni
Keikhlasan hati
Semoga berkekalan
Kasih kita
Hati berkuntum harapan
Agar hidup takkan sendiri lagi
Doa restu dari yang tercinta
Fahamilah
Cinta mulia

Saturday, October 13, 2007

Kau Yang Kupanggil CINTA

Kau Yang Kupanggil Cinta
(Special dedicated untuk B yang tersayang)

Kau yang panggil cinta,
Adalah sebuah harapan dari kegagalan,
Luka lama yang telah hilang,
Berlalu bersama kenangan indah,
Telah tercipta bersamamu..

Kau yang kupanggil cinta,
Tak pernah menggapai sedih,
Sering melerai pedihnya kehidupan,
Seiring bersama menanggung dugaan,
Kedewasaan kita yang tiada sempadan..

Kau yang kupanggil cinta,
Adalah hati seorang lelaki,
Yang keras sekeras batu,
Yang dingin sedingin salju,
Namun hilang bersama rasa kasih,
Yang telah subur bercambah di hati…

Kau yang kupanggil cinta,
Berpautlah di dahan percaya,
Kerana di situ telah kujanjikan cinta,
Walaupun kadangkala,
Ranting gelora akan menimpa,
Kuharap kau kan
ampuh menepis,
Membiarkan kisah duka berlalu,
Sedang kita terus mendaki gunung bahagia…

Kau yang kupanggil cinta,
Andai takdirnya,
Kau telah ke puncak,
Pandanglah aku di bawah,
Barangkali aku masih di situ,
Di dahan cinta menunggu setia,
Gapailah aku wahai kekasih,
Kerana lengan kasihmu,
Lebih kukuh usianya,
Dari dahan cinta,
Yang mungkin telah rapuh,
Dimamah usia tua…

Kau yang kupanggil cinta,
Adalah sebuah cinta suci,
Cinta pertama yang tiada noktahnya,
Dan abadi di hati..
Untuk selama-lamanya…

Friday, May 25, 2007

Pantun 12 Kerat

Susah betoi nak carik kawan sejati,
Tambah lagi zaman la la ni,
Yang di cari tak mai-mai lagi,
Yang tak mau berlonggok kat tepi,
Menda baik nih memang susah nak cari,
Adatlah, dugaan bersahabat mematangkan diri,
Tapi  bila terpikiaq time sunyi-sunyi,
Masa tu lah rasa diri nie sepi,
Teringat plak nasyid brothers ‘Teman Sejati’,
Haa…jadi sebab hangpa nie sahabat aku di PC,
Aku pun nak bagi dan tujukan lagu nie,
Buat hangpa semua… Selamat menyanyi  menghayati….

Friday, January 26, 2007

Hadirmu

Resah yang membelenggu,
Barangkali tak ingin pergi,
Cerita semalam terkadang singgah,
Mengkhabar duka,
Dan ada air mata di hujung tawa,
Itulah saat kau hadir menyembuh luka
Menyinar kasih agungmu….